Monday, May 4, 2009

Fitnah ibu sendiri

Pada suatu pagi minggu lepas, aku sedang duduk-duduk sambil mengadap tv di rumahku, pada waktu tu siaran bual-bicara pagi di tv3 dimana seorang ustazah yang aku tak begitu kenal, tapi aku rasa bukan pertama kali muka dia keluar kat tv bersama penyanyi Nora dan suaminya. Waktu itu pengacaranya ialah seorang pelakon yang terkenal dengan aksi ghairah dalam majalah mangga suatu ketika dulu (sekarang pun masih ghairah lagi) dan juga pernah juga di gossip menggunakan cucukan BOTOX untuk menambahseri raut wajah (kununnya) dan seorang lagi aku tak ingat namanya.
Mereka berbicara di atas tajuk "fitnah" yang mana boleh menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara kerananya. Ulasan demi ulasan mereka perkatakan membuatkan aku memberikan sedikit perhatian kepada perbualan mereka walaupun sebelum ini aku jarang-jarang memberi perhatian kepada rancangan tv3 terutama slot bual-bicara seperti ini kerana aku merasakan setiap ulasan yang diberikan oleh ahli panel kebanyakannya berkisar di sekitar untuk membodek.
Dalam kerancakan mereka mengulas isu fitnah ini, aku menjadi bertambah minat untuk terus menonton rancangan itu apabila seorang perempuan membuat panggilan dari sekitar ibukota, memperkenalkan dirinya sebagai seorang ibu yang telah mempunyai beberapa orang anak dan menceritakan kisah hidupnya dalam nada sebak dan suara yang putus-putus kerana menahan sebak kerana dia telah difitnah oleh anak sulungnya sendiri yang mengaku di depan khalayak ramai mengatakan beliau pernah melakukan zina dengan anaknya itu.
Aku menjadi sayu seketika mendengar kisahnya itu, bayangkan seorang anak yang dikandung, dilahirkan dan di jaga bagai menatang minyak yang penuh dari kecil sehingga besar sanggup melakukan fitnah yang sebegitu besar dan di anggap gila bagi orang-orang yang waras akal fikirannya.
Peristiwa ini membuatkan aku termenung dan berfikir apakah sebabnya yang membuatkan anaknya itu sanggup melakukan perkara tersebut. Apakah di sebabkan oleh salah didikan atau memang anak itu sendiri yang tidak mengenang budi. Apakah tidak pernah terjengah di gegendang telinganya sejak dari kecil hinggalah dewasa darihal yang mengatakan bahawa "Syurga itu di bawah telapak kaki ibu", atau tidakkah anak itu pernah mendengar sabda Rasulullah ketika di tanya oleh sahabatnya, tentang siapakah yang patut kita lebih taat di antara ayah dan ibu, sehingga Rasulullah bersabda "ibumu ibumu ibumu dan barulah ayahmu, atau tidak pernahkah anak ini diberitakan tentang firman Allah yang lebih kurang maksudnya " Dan berbuat baiklah kamu kepada kedua ibubapa mu, dan janganlah kamu mengatakan walaupun perkataan ahh..."
Kita tidak tahu siapakah yang bersalah dalam peristiwa ini, apakah boleh kita meletakkan kesalahan itu pada anak itu sendiri semata-mata atau patutkah ibu dan bapanya yang mesti kita persalahkan kerana gagal mendidik anak-anak sehingga perkara sekeji ini berlaku.
Apa yang dapat kita simpulkan di sini ialah, kegagalan kita mendidik anak-anak sedari kecil dengan memberikan didikan agama yang secukupnya menyebabkan anak itu tidak dapat membezakan yang mana satukah redha Allah dan yang mana murka Allah.
Sama-samalah kita fikirkan..
Akhir sekali apa yang aku nampak ialah si pengacara tu mengalirkan airmata dan sesekali menyeka air matanya (insaf agaknya....)

No comments:

Post a Comment